Selain ribu-ribu lidi juga boleh digunakan sebagai bahan anyaman. Pokok kelapa dikenali sebagai pokok serbaguna kerana semua bahagian pokok ini boleh digunakan. Salah satu bahan kraftangan yang diperbuat daripada pokok kelapa ialah lidi. Berbagai-bagai barangan boleh dihasilkan daripada lidi kelapa. Antaranya, lekar, bakul, tempat simpan telur, bekas buah-buahan dan raga gubahan bunga.
Kraftangan ini bermula dengan kerja meraut dan mengisit daun kelapa yang muda dan panjang untuk mendapatkan lidinya. Lidi yang sudah licin, direbus dengan bahan pewarna dan kemudian dijemur hingga kering. Kini lidi itu sedia untuk dianyam mengikut bentuk yang dikehendaki.
Cara menganyam lidi tidak banyak berbeza daripada cara menganyam rotan bulat. Untuk membuat lekar atau bakul, misalnya, bahagian tapak disusun terlebih dahulu didalam satu bingkai supaya bilah-bilah lidi tidak mudah terungkai. Kemudian hujung lidi dilentur secara berselang-seli dan diselitkan di antara satu sama lain dalam aturan tertentu untuk menghasilkan suatu corak. Seterusnya lidi itu ditarik supaya anyaman tersebut menjadi kukuh. Akhirnya bahagian hujung lidi diselitkan dengan kemas dan bakinya dipotong.
No comments:
Post a Comment