Terdapat pelbagai jenis anyaman antaranya ialah anyaman buluh. Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang. Bagi masyarakat peribumi di nusantara, buluh mempunyai seribu satu kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang, bilah kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak, seligi, sigai, sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.
Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Langkah-langkah untuk memproses anyaman buluh ialah merendam. Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air asam dan air selut selama seminggu. Tetapi kini cara yang lebih mudah digunakan ialah buluh itu direbus bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama. Dari segi rupa pula, buluh yang telah direndam sedemikian dianggap lebih cantik dan menarik walaupun berbau masam. Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah, disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.
contoh anyaman buluh
No comments:
Post a Comment